Thursday 19 January 2012

karangan pelajar 1

Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.


“Jika kamu ingin melihat negara pada masa hadapan, lihatlah generasi
muda pada hari ini”.

Kata-kata Dr. Yusuf al-Qadrawi ini telah menyedarkan kita tentang pentingnya generasi muda bagi menjamin kemajuan negara. Generasi muda termasuklah murid mestilah diasuh dan dididik dengan sempurna agar menjadi insan yang berjaya. Kejayaan seseorang murid dalam pelajaran sememangnya menjadi impian setiap ibu bapa dan guru-guru yang tekun mendidik dan mengajar mereka. Namun persoalannya, apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran?
Antara faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran ialah pembelajaran di bilik darjah. Tumpuan seratus peratus perlu diberikan oleh murid-murid semasa guru sedang mengajar atau menerangkan sesuatu topic. Hal ini akan memudahkan seseorang murid untuk memahami setiap apa yang dipelajarinya dan sekiranya murid mempunyai kemusykilan, mereka hendaklah menyatakan masalah itu kepada guru. Tumpuan seratus peratus semasa sesi pengajaran dan pembelajaran sangat signifikan kerana tumpuan menyumbang sebanyak dua puluh peratus ingatan seseorang murid terhadap topik yang dipelajari oleh mereka. Justeru, sudah terang lagi bersuluh bahawa faktor kejayaan seseorang murid dalam pelajaran ialah pembelajaran di bilik darjah.
Selain itu, menghadiri kelas tuisyen juga merupakan faktor dominan yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Hal ini demikian kerana dengan menghadiri kelas tuisyen, murid tersebut dapat memantapkan kefahaman mereka terhadap sesuatu topik. Dalam pada itu, bilangan murid yang sedikit dalam kelas tuisyen membolehkan guru-guru tuisyen memberikan tumpuan kepada usaha untuk mengatasi kelemahan pelajar terhadap sesuatu topik. Murid juga akan mendapat ilmu baharu yang diajarkan oleh guru tuisyen kerana biasanya mereka akan memperkenalkan cara-cara yang lebih mudah untuk menguasai sesuatu topic atau kemahiran. Intihanya, terbuktilah bahawa menghadiri kelas tuisyen merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
Di samping itu, dorongan ibu bapa merupakan satu factor yang tidak dapat dinafikan untuk memastikan kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Bagi murid, ibu bapa merupakan role model mereka. Mereka akan mengikuti segala nasihat dan teguran ibu bapa. Oleh hal yang demikian, ibu bapa yang sentiasa mendorong anak-anak mereka supaya belajar dengan bersungguh-sungguh akan menaikkan semangat mereka untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran. Mereka akan belajar dengan bersungguh-sungguh demi memastikan impian dan hasrat ibu bapa yang dicintai akan tercapai. Tegasnya, dorongan ibu bapa penting dalam memastikan kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
Akhirul kalam, kejayaan seseorang murid dalam pelajaran merupakan salah satu titik tolak kepada masa hadapan yang cerah. Murid-murid yang berjaya ini merupakan aset negara yang sangat penting bagi memastikan tampuk pemerintahan negara kelak akan dipimpin oleh generasi yang betul-betul berwibawa, beriltizam dan progresif. Oleh itu, semua pihak hendaklah bekerjasama membantu murid untuk mencapai kejayaan agar modal insan kelas pertama dapat dilahirkan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Hasnin Raidin
5Adil12011

No comments:

Post a Comment