Thursday 19 January 2012

karangan pelajar 1

Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.


“Jika kamu ingin melihat negara pada masa hadapan, lihatlah generasi
muda pada hari ini”.

Kata-kata Dr. Yusuf al-Qadrawi ini telah menyedarkan kita tentang pentingnya generasi muda bagi menjamin kemajuan negara. Generasi muda termasuklah murid mestilah diasuh dan dididik dengan sempurna agar menjadi insan yang berjaya. Kejayaan seseorang murid dalam pelajaran sememangnya menjadi impian setiap ibu bapa dan guru-guru yang tekun mendidik dan mengajar mereka. Namun persoalannya, apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran?
Antara faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran ialah pembelajaran di bilik darjah. Tumpuan seratus peratus perlu diberikan oleh murid-murid semasa guru sedang mengajar atau menerangkan sesuatu topic. Hal ini akan memudahkan seseorang murid untuk memahami setiap apa yang dipelajarinya dan sekiranya murid mempunyai kemusykilan, mereka hendaklah menyatakan masalah itu kepada guru. Tumpuan seratus peratus semasa sesi pengajaran dan pembelajaran sangat signifikan kerana tumpuan menyumbang sebanyak dua puluh peratus ingatan seseorang murid terhadap topik yang dipelajari oleh mereka. Justeru, sudah terang lagi bersuluh bahawa faktor kejayaan seseorang murid dalam pelajaran ialah pembelajaran di bilik darjah.
Selain itu, menghadiri kelas tuisyen juga merupakan faktor dominan yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Hal ini demikian kerana dengan menghadiri kelas tuisyen, murid tersebut dapat memantapkan kefahaman mereka terhadap sesuatu topik. Dalam pada itu, bilangan murid yang sedikit dalam kelas tuisyen membolehkan guru-guru tuisyen memberikan tumpuan kepada usaha untuk mengatasi kelemahan pelajar terhadap sesuatu topik. Murid juga akan mendapat ilmu baharu yang diajarkan oleh guru tuisyen kerana biasanya mereka akan memperkenalkan cara-cara yang lebih mudah untuk menguasai sesuatu topic atau kemahiran. Intihanya, terbuktilah bahawa menghadiri kelas tuisyen merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
Di samping itu, dorongan ibu bapa merupakan satu factor yang tidak dapat dinafikan untuk memastikan kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Bagi murid, ibu bapa merupakan role model mereka. Mereka akan mengikuti segala nasihat dan teguran ibu bapa. Oleh hal yang demikian, ibu bapa yang sentiasa mendorong anak-anak mereka supaya belajar dengan bersungguh-sungguh akan menaikkan semangat mereka untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran. Mereka akan belajar dengan bersungguh-sungguh demi memastikan impian dan hasrat ibu bapa yang dicintai akan tercapai. Tegasnya, dorongan ibu bapa penting dalam memastikan kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
Akhirul kalam, kejayaan seseorang murid dalam pelajaran merupakan salah satu titik tolak kepada masa hadapan yang cerah. Murid-murid yang berjaya ini merupakan aset negara yang sangat penting bagi memastikan tampuk pemerintahan negara kelak akan dipimpin oleh generasi yang betul-betul berwibawa, beriltizam dan progresif. Oleh itu, semua pihak hendaklah bekerjasama membantu murid untuk mencapai kejayaan agar modal insan kelas pertama dapat dilahirkan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Hasnin Raidin
5Adil12011

Sutera Dalam Lukisan

Novel ini mengisahkan seorang pemuda yang bernama Mohamad Hafiz atau Bujei mengalami konflik jiwa akibat kematian ibunya dalam satu peristiwa kebakaran berpunca daripada kemarahan bapa tirinya Harun.. Kenangan pahit itu telah menjadikan Bujei, sasau akibat sering menjadi cemuhan dan diperbudakkan oleh penduduk kampung. Bapa tirinya, Harun,  sering menyeksanya malah telah cuba mengambil kesempatan untuk  merampas hak milik Bujei yang ditinggalkan oleh arwah ibunya.
Hidupnya keseorangan sehinggalah kehadiran Adila telah mengubah segala-galanya.  Bujei mulai merasai erti kehidupan yang sebenarnya. Tetapi, banyak ranjau yang terpaksa dihhadapinya untuk meneruskan hubungan persahabatan bersama-sama Adila. Alias yang turut menyimpan perasaan terhadap Adila berdendam terhadap Bujei dan Adila. Pelbagai rancangan diatur dalam usaha untuk memiliki Adila. Bujei diperdaya hingga akhirnya dia mempercayai Adila akan mengahwini Alias malah Adila turut difitnah menghidap penyakit AIDS kerana pernah menuntut di luar negara. Dendam yang kian membara menyebabkan Alias meminta khidmat neneknya, Opah Arah,  untuk mendapatkan ilmu pengasih yang akan mendorong Adila tunduk kepada kehendaknya. Alias yang dirasuk kerinduan akhirnya telah menjadi sasau dan sanggup merayu kepada Bujei dan mengharapkan simpati serta pengertian daripada Bujei supaya memujuk Adila menerima dirinya. Akhirnya, Alias sendiri terpaksa mendapatkan khidmat daripada dukun yang sama dalam usaha untuk memulihkannya.
Selepas itu,  orang kampung telah melihat perubahan diri yang berlaku terhadap diriBujei yang menjadi manusia normal berbanding dengan Alias yang telah mengambil alih tempat Bujei.
 Adila telah meluahkan isi hatinya kepada Sidang Saman dan isterinya tentang keputusannya untuk menerima Hafiz sebagai pasangan hidupnya. Adila akhirnya terpaksa kembali ke kota kerana ditawarkan jawatan pensyarah di salah sebuah universiti di ibu kota

Wednesday 11 January 2012

Pahlawan Buntung

Kisah kesengsaraan hidup penduduk kampung akibat peperangan


Persoalan
1.  Persoalan kasih sayang yang terjalin dalam keluarga
     - Mak Bidah merawat pak Husain yang kehilangan semangat
2.  Persoalan keberanian menentang musuh.
     - Pak Husain berani menentang tentera Jepun dan perompak di Kampung Pak Amat
3.  Persoalan kerjasama anggota masyarakat dalam menghadapi kesulitan.
     -Penduduk kampung membantu menghantar Pak Husain yang terkena serpihan bom ke hospital
4.  Persoalan hormat kepada warga tua atau warga emas
     -Khalid menghormati pak Husain yang telah banyak berjasa


Nilai
1.  Prihatin
     -Pak Husain bertanya khabar ayah Khalid yang sudah lama tidak ditemuinya
2.  Kebijaksanaan,
     - Pak Husain bijak menggunakan muslihat untuk menyelamatkan diri daripada askar Jepun dengan   
        memberi alasan mahu membuang air besar
3.  Keberanian
     - Pak Husain berani berhadapan dengan tentera Jepun dan membedil perompak di Kampung Pak Amat 
        telah menyelamatkan rumah Pak Ngah Isa dan penduduk kampung.
4.  Kasih sayang,
     - Kehilangan Pak Husain ketika penduduk kampung berpindah ditangisi oleh Mak Bidah
     - Mak Bidah juga menjaga Pak Husain ketika berada dalam kesusahan
5.  Cinta akan negara
     - Pak Husain sanggup menggadaikan nyawa untuk mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh    
        iaitu tentera Jepun


Pengajaran
1.  Kita mestilah berani mempertahankan hak di tanah air sendiri.
     - Pak Husain berani menentang tentera Jepun
2.  Kita perlulah bijak menyelesaikan masalah.
     - Pak Husain memberi alasan hendak membuang air besar untuk melepaskan diri daripada tentera Jepun
3.  Kita hendaklah mematuhi arahan ketua semasa menjalankan sesuatu tugas.
     - Arahan Pak Husain supaya penduduk kampung berpindah tidak dibantah